Monday 6 February 2012

SG.SKIN - Kemuncak Cabaran Pemancing Tegar


Sg.Skin....Yat selalu menyebut kehebatannya baik dari segi cabaran memancing atau perjalanannya.Rosli Yahya rakan FB Yat yang juga mahir Sg.Skin melontarkan ajakan yang sukar untuk pamancing tegar hutan menolaknya.Akhirnya kami menyediakan diri dan peralatan terutamanya motosikal yang perlu 100% bersedia untuk cabaran yang bukan kepalang pemancing sanggup menghadapinya.Rosli memberikan banyak panduan untuk persediaan.


Aku,Bang Mail,Yat,Boy,Izzy,Wan dan Keirul berkumpul di rumah Boy untuk memulakan perjalanan.
Setelah memunggah motosikal ke dalam lori,kami memulakan perjalanan (dari Pagoh) jam 12.15 malam. Boy memandu lori ditemani Izzy sementara yang lain bersama 4X4 dipandu Bang Mail.Perjalanan malam melalui Kg.Lenga,Bukit Kepong,Kg.Tekam memang menenangkan.Hanya sesekali berselisih dengan kenderaan lain dan sekumpulan anak muda kampung bersembang di tepi jalan.Mungkin Pasukan Kawalan Kampung. Memasuki Bandar Segamat dari arah Bukit Kepong terus berhenti dipersimpangan ke arah Bandar Muadzam Shah.Berhenti minum kerana masih awal lagi.

Kami terus ke Felda Selancar dimana dari situlah bermulanya xpdc ke Sg.Skin.Rosli bersedia menunggu ketibaan kami.Selesai Solat Subuh kami bersarapan diwarung dan memulakan perjalanan jam 7.30 pagi. Perjalanan melalui jalan Segamat-Muadzam yang sibuk sebelum kami membelok ke arah Felda Permaisuri dan memasuki jalan tanah sebuah estate kelapa sawit.Bermulalah cabaran pertama.



Jalan tanah merah yang keras sesekali melompat di atas bonggol keselamatan jalan,amat mengujakan kami.Habis jalan estate kami mula menyelusuri pinggi hutan.Amat mendamaikan.Jalan balak yang licin sesekali  menggerutu menjadikan kami lebih bersedia untuk cabaran seterusnya.Pada aku dan Geng Jejak Hutan ini belum lagi menjadi cabaran kerana kami telah biasa melalui yang lebih hebat....Melantai dan Jeram Berungut.

Lebih kurang sejam melayani lorong balak yang menyediakan panorama hutan tebal amat mengasyikkan. Sesekali melalui betau balak,pondok Orang Asli dan anak-anak sungai yang mengalir lesu tetapi jernih sehingga menampakan dasar dan anak-anak ikan bermain,menghilangkan rasa penat kami. Akhirnya kami sampai ke sebuah jambatan balak merentangi Sg.Skin.Kami berhenti rehat sambil meninjau lokasi. Sungai  cantik dan asli yang tidak terganggu oleh arus pembangunan.Jernih sehingga menampakan dasar berpasir halus dan batu-batu kerikil.Bergetar jiwa kami tak sabar untuk menduganya."Belum lagi" kata Rosli.Masih jauh dan lebih hebat cabarannya.Rosli memberikan taklimat ringkas kepada kami.

Setelah berehat sebentar dan RY memberikan beberapa maklumat sebagai persediaan kami meredah lorong sempit.Kami memasuki lorong kecil sebelah kanan jalan selari dengan sungai.Aku rasa sesak nafas melalui lorong kecil dipenuhi oleh semak samun dan anak-anak pokok.Kami tidak nampak kiri kanan jalan mahupun hadapan.Kami redah motosikal tanpa mengetahui apa yang ada dihadapan.Seperti lorong sempit dalam sebuah gua.Sesekali kepala kami terlepas keluar dari rimbunan samak samun,dapatlah kami menarik nafas lega sambil mengintai pemandangan luar.Sekejap saja dan kami hilang dalam rimbunan.

Setengah jam kemudian,tiba-tiba terbentang Sg.Skin menyekat perjalanan kami.Bagaimana kami ingin melepasinya?RY ada jawapannya.....


Aduh.....seksanya....terpaksa yang muda mengambilalih.Tapi RY dan Wan dapat beraksi hebat,kerana jenteranya ada kelebihan.Meremang bulu roma kami menantikan apa kesudahan aksi merentas sungai tanpa bantuan.



Hebat pengalaman kami terutamanya bila Bang Mail ingin mencuba.Aku cuba membantu dengan memberikan kuasa tolakkan tambahan.Tapi....kami karam kerana tersalah memilih haluan yang dalam.


Aku dan Bang Mail hanya mengambil peranan kecil dalam operasi ini.Maklumlah
dah veteran.Terima kasih kepada yang muda.

Kami teruskan perjalanan dengan berhati-hati.Permukaan jalan yang sempit dan terlalu licin serta curam membuatkan kami selalu terbabas kerana terlalu sukar mengawal jentera.Ada yang telah putus asa tetapi menguatkan semangat kerana inilah cabarannya.Letih,lapar,dahaga menjadi lawan kami.Telah dua jam kami menunggang dalam laluan sempit dan licin namun destinasi belum kesampaian.


Setelah dua setengah jam menunggang dan melalui pelbagai kesukaran,akhirnya sampailah kami ke destinasi ulu Sg.Skin.Kami berhenti betul-betul di tebing sungai.Terpegun kami dengan keindahan dan kehebatan ciptaan Allah.Jernih airnya,perlahan alirannya,sejuk rasanya.Tiada kata yang kami dapat ungkapkan melainkan merakamkannya.



Aku dan Bang Mail berehat sambil meninjau manakah tempat yang sesuai untuk tapak perkhemahan.Sementara yang lain tak sabar-sabar untuk menduga 
kehebatan Sg.Skin.Maklumlah orang muda..walaupun keletihan,tak menjadi halangan.Tak lama....keheningan Sg.Skin dipecahkan oleh jeritan kegembiraan.Wow....Yat dengan hanya lontaran kedua gewangnya telah disambar tengas.Boleh tahan...


Boy,Wan,Izzy,Keirul tak ketinggalan berlumba-lumba menaikkan tengas dijeram cetek.Ada lauk malam ni.Aliran deras jeram-jeram cetek yang jelas dasarnya berbatu kerikil menjadi tempat mainan tengas.Campak saja umpan,belum sepuluh saat sudah disambar tengas.Memang hebat renggutan tengas.Walaupun sebesar tapak tangan,rentapannya boleh 'menerbangkan' joran.Yang kecil kurang lima jari kami lepaskan semula.Sungguh mengujakan.


Aku dan Bang Mail bersiap menyediakan makan malam.Kami makan dengan berselera sekali berlaukan asam rebus dan panggang tengas.Hmm....memang sedap.

Menjelang senja kami telah bersedia dilubuk-lubuk kecil.Aku berdiri dalam air separas lutut menghadap lubuk untuk mendapatkan sudut yang luas dan mudah melontarkan umpan.Wow....baung....tak sangka lubuk kecil seluas 10'x10' menyimpan baung yang besar dan banyak.Tak boleh leka sedikitpun kerana sembatan yang lewat akan menyebabkan baung menyusup di celah batu.Kami hanya memilih yang besar saja untuk hidangan larut malam.

Malam itu sambil mengadap asam rebus baung kami banyak bercerita tentang keseronokan menjinakkan tengas dan baung.Rosli hanya tersenyum sambil menerangkan bahawa ulu Sg.Skin jarang sekali dijejaki pemancing.Hanya yang tegar dan cekal saja dapat merasai kehebatannya.Perbualan berjalan terus sambil kami berbaring dan merancang untuk sebarau esuk paginya.Lama-kelamaan suasana menjadi hening.Hanya batuk-batuk kecil dan alunan muzik yang dihasilkan Bang Mail yang keletihan kedengaran.

Mungkin keriuhan dan kocakan air dari kami menyebabkan sebarau-sebarau berhati-hati untuk menyambar gewang kami.Hanya beberapa ekor yang sederhana besar saja yang berani menyambar gewang.

Lebih kurang jam sepuluh pagi kami berkemas untuk pulang.Setelah memastikan kebersihan diutamakan,kami mengucapkan selamat tinggal Sg.Skin dengan azam untuk kembali semula dengan masa yang lebih panjang.Insyaallah.


                                      Terima kasih Rosli Yahya.