Saturday 21 April 2012

GUNUNG MAOKIL


Aku ingin berkongsi pengalaman dengan semua yang menggemari aktiviti lasak,terutama yang mencintai alam semula jadi-hutan,sungai,jeram,pancing,pacat......

Sasaran aku kali ini ialah Hutan Simpan Gunung Maokil.Hutan Simpan Kekal yang merentang dari Labis hingga ke Pagoh(kampung aku).Pelbagai khazanah ada di dalamnya.Tapi aku hanya sukakan kedamaian dan aliran sungainya yang jernih,sejuk dan manis bila diteguk terus.

Aku,Boy(Shafie) dan Keirul merancang untuk merasai sendiri kehebatan Hutan Gunung Maokil.Aku cuba mendapatkan seberapa banyak maklumat dari rakan-rakan yang biasa merentas untuk keseronokan tunggangan motosikal lasak.Sangat sedikit maklumat yang aku dapat terutamanya arah jalan yang kata mereka laluan balak yang banyak sangat simpangnya.Maklumat yang sedikit itu aku beranikan diri bersama dua lagi yang memang lasak tegar-Boy dan Keirul.

Sedikt saja persiapan yang disediakan kerana tujuan kami hanya untuk meneroka/merintis jalan sebelum xpdc seterusnya yang lebih lengkap.Kami menyusuri ladang felda Lenga dan kami menghala ke arah hutan.Kami hanya mengikut naluri dan pengalaman sahaja.Banyak lorong balak yang kami jelajahi tetapi tidak sama dengan tanda-tanda yang diberitahu oleh rakan-rakan.Puas kami bertiga menyusuri larong-lorong balak lama yang bukan kepalang sukarnya.Pokok tumbang,laluan mendaki dan menurun yang curam,jambatan roboh.Kami kuatkan semangat kerana inilah kebiasaannya.Penat,kami akan berhenti rehat sambil berbincang.

Satu ketika kami sampai disatu puncak gunung yang tinggi.lapang dan bersih.Kami terdiam sebentar.Dari situ pemandangan luas terbentang indah.Kami tak tahu dimana kedudukannya.Kami juga tidak tahu pekan apa yang samar-samar di bawah.Akhirnya keputusan diambil untuk kembali semula ke jalan asal untuk tindakan selanjutnya.

Setelah puas keluar masuk lorong balak,akhirnya kami temui tanda yang bertepatan-Betau Balak lama.Dari situ perjalanannya agak mudah kerana kami hanya perlu mengikut laluan utama sehingga penghujung-laluan mati.Dari situ kami menyusuri denai kecil yang muat sebuah motosikal.Tunggangan yang berhati-hati kerana denai dilereng gunung yang curam dan licin.Tambah sukar kerana hujan turun dengan lebat.Tidak dapat merakamkan gambar-gambar pemandangan yang cantik.


Gembira bukan kepalang kami bertiga apabila kesukaran yang dilalui akhirnya terbalas dengan penemuan jeram.Tempat yang cantik,bongkah-bongkah batu besar serta pohon balak yang menjulang tinggi.Tetapi agak mengecewakan kerana aliran airny yang sedikit.Anak-anak sebarau,tengas,kepliau bermain arus.Tidak nampak riak yang besar.Kami tidak menjangka ada yang besar kerana airnya yang cetek.Inilah akibat pemusnahan hutan yang tidak terkawal.Bagaimana 10,20 atau 30 tahun lagi?Gambar ini sahaja yang menjadi kenangan.

Setelah meninjau kehulu sungai yang semakin tinggi-airnya semakin sedikit seperti parit-parit kecil sahaja.
Kami mengambil keputusan untuk keluar kerana hujan sangat lebat serta hutan menjadi semakin gelap.Kami khuatir akan pendakian yang curam dan licin.Ditambah lumpur yang melekat tebal pada tayar.Tepat telahan kami tentang perjalanan pulang.Kami bertiga terpaksa menolak motosikal satu persatu dilaluan tinggi dan curam.Sampai putus nafas.Bukan sekali....Akhirnya menjelang senja kami telah memasuki laluan ladang Felda Lenga.Legaaaa.......


Walaupun kecewa,kami tetap berpuas hati.Itulah kegembiraan kami.