Thursday 25 October 2012

Menjejak Jeram Hutan Simpan Pahang



Atas desakan anak-anak buah yang teringin untuk merasai pengalaman lasak meneroka rimba,jeram,pacat dan tentu sekali merasai kejernihan dan kedinginan sungai rimba,Geng Jejak Hutan merancang untuk satu xpdc yang agak jauh dan mencabar.Kali ini trip orang muda yang tak sabar-sabar ingin merasai sendiri pengalaman menjelajah jeram rimba.Hutan Simpan Pahang dalam jajahan Rompin menjadi destinasi .Trip kali ini bertambah ramai.Solihin,Jay dan Hairee selain anggota biasa Jejak Hutan.


Seperti biasa kami bergerak awal dari Pagoh lebih kurang jam 12.30 malam.Tujuan kami ialah untuk sampai di pintu hutan pada awal subuh.Perjalanan tenang melalui pekan Bukit Kepong menghala ke Bandar Segamat.Kami berhenti untuk berehat dan mengalas perut di pinggir bandar sambil berbincang tentang perjalanan seterusnya.


Menruskan perjalanan melalui lebuh raya Segamat-Kuantan yang sibuk walaupun awal pagi menjadikan kami berhati-hati dan memberi sepenuh tumpuan kepada aliran trafik.Setelah tiga (3) jam menunggang akhirnya kami sampai dilaluan masuk.Masih awal untuk kami solat subuh.Atas cadangan orang paling berpengalaman dalam Jejak Hutan-Bang Mail-kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan. Menunggang dilaluan balak yang kasar sudah biasa bagi kami tapi tidak untuk yang baru.Untuk setengah jam pertama,mereka berhati-hati.Seterusnya merekalah yang memulakan tunggang laju.

Akhirnya kami sampai kedestinasi dengan selamat.Masing-masing mengadu sakit punggung. Walaupun begitu nampaknya mereka tak sabar-sabar dan terus meninjau kedudukan sungai.Gema deruan jeram dapat kami dengar jelas,membuatkan hati kami tak sabar untuk menguji kehebatan ciptaan Allah dan isinya.



Maha hebat ciptaan Allah.Sungguh jernih airnya sehingga ke dasar.Nampak jelas anak-anak sebarau,lampam,rong berkejar-kejaran bermain arus.Apa lagi,masing-masing terus menyediakan peralatan untuk menguji sebarau.Dengan pantas Keirul berjaya menjinakkan sebarau bersaiz sederhana.Aku dan Bang Mail sebagai veteran relax saja sambil menyediakan sarapan dan khemah.

   
Menjelang tengah hari masing-masing telah kepenatan dan kelaparan.Selepas makan kami mendirikan khemah dan berehat (tidur) untuk menunggu hari petang.Kami akan cuba menjinakkan sebarau lagi.


Pancingan dasar menghasilkan banyak ikan rong dan tengas.Kami memilih untuk mencuba pancingan dasar di celah-celah batu.Malam itu semua cukup berselera dengan hidangan sebarau dan tengas goreng.Baung dan rong sebagai hidangan asam rebus.



Menjelang senja kami mula mencari lubuk-lubuk dalam untuk mencuba baung.Wow... boleh tahan sentapan baung.Tapi saiznya sederhana saja.




Semua kecewa kerana tiada spesis kelah.Mungkin tiada rezeki kami.Bagi yang belum dapat lesen tu sabar-sabarlah.Mungkin dilain hari,masa dan tempat.Insyaallah.Menjelang larut malam kami bersembang-sembang sebelum melabuhkan diri.Terasa puas dengan trip yang mencabar.Masing-masing memasang impian untuk mencuba sebarau di awal pagi.



Trip kami hanya untuk dua hari satu malam kerana kekangan tugas.Setelah berkemas dan membersihkan kawasan,kami mengucapkan selamat tinggal kepada alam rimba yang mengujakan.Terasa kurang puas menyatukan diri dengan keindahan ciptaan Allah.Isyaallah kami akan datang semula dilain masa.Kepada ahli Geng Jejak Hutan yang baru,tahniah kerana anda begitu tegar dan tidak banyak kerenah dengan kehidupan yang tidak selesa.



Thursday 9 August 2012

TANJUNG RESANG

BERSANTAI DI TANJUNG RESANG 


Ingin bersantai tanpa gangguan,percuma,menyelesakan,kawasan yang lapang dan bersih sambil memancing? Tanjung Resang tempatnya.Tidak berapa jauh dari bandar Mersing.Jalan yang baik serta pemandangan yang indah.Pelbagai jenis keropok dijual disepanjang perjalanan.Hanya satu saja masalah - tiada bekalan air bersih.Samada bawa bekalan atau dapatkan dari surau di Kampung Tanjung Resang yang berdekatan.(Jangan lupa 'hulur' la sikit dalam tabung surau).


Bulan Mei adalah perubahan monsun.Cuaca tidak menentu-kebanyakanya hujan.Geng Jejak Hutan tak dapat keluar memancing.Tiada program,memang membosankan.Bang Mail mencadangkan untuk bersantai di Tanjung Resang.Aku ada beberapa kali sampai ke sini,tapi hanya meninjau-ninjau tempat.Cantik dan bersih.Ada yang bersetuju tapi ramai yang nak bawa keluarga melancung-cuti sekolah.

Akhirnya kami berlima-aku,Bang Mail,Boy,Wan dan Md Gary bersiap untuk ke Tanjung Resang.Perjalanan yang mudah ke Bandar Mersing.Dari situ menghala ke arah Bandar Endau.Sepanjang perjalanan dari Mersing banyak warung menjual keropok.Macam-macam jenis,semua ada.Pasar Mersing banyak menjual ikan segar,sama ada untuk umpan atau ....(beli bawa balik 'kalu' dah tak dapat).Ikut arah papan tanda, membeluk ke kanan sehingga sampai ke Kampung Tanjung Resang.Sampai simpang tiga ambil arah kanan lagi dan Tanjung Resang 2-3 KM di hadapan.Jangan lupa perhatikan bangunan surau di sebelah kanan jalan.


Jalan akan tamat betul-betul di tepi pantai.Disini ramai yang datang berkelah dan bersantai bersama keluarga atau pasangan.Jadi untuk berkhemah kurang selesa.Dimana nak berkhemah!!?Ok....disebelah kanan betul-betul di penghujung jalan raya,ada lorong jalan pasir melalui belukar.Lorong yang muat untuk kenderaan besar akan membawa ke satu lokasi yang menarik sehingga  penghujung jalan - ditebing sungai.Kawasan untuk berkhemah yang luas dan selesa,dinaungi pohon-pohon rendang.Tiada gangguan dari monyet atau babi hutan.

Kepada yang minat memancing,dihujung sebelah kanan kawasan berbatu sangat sesuai.Kita cuma perlu melintasi anak sungai untuk sampai ke kawasan berbatu.Tapi semasa air surut.Waktu air pasang kurang sesuai kerana agak dalam-melebihi satu(1)meter.Pilihlah tempat yang dirasakan sesuai.


Hasil tangkapan bergantung pada keadaan air.Kalau pasang besar ada peluang untuk naikkan pari,tanda dan lain-lain spesis.Berhati-hati jika memancing dari kawasan berbatu kerana licin dan tinggi.Semakin  jauh semakin banyak kawasan yang menarik untuk memancing.


Hasi tangkapan tidak memuaskan.Tanda kecil,bolos dan anak-anak yu Nasib baik Bang Mail pasang jaring dan bawa sardin.Bolehlah buat lauk malam.Malam tu aku,Boy dan Md Gary cuba menyerampang ketam.Masa buat latihan merejam di darat okey saja.Tapi bila turun gelanggang situasi sebenar,amat sukar untuk mendapat ketepatan.Kami saling mentertawakan antara satu.Semuanya tak pandai.Biasan air mengelirukan mata kita yang tidak biasa.


Hujan lebat dan angin kuat  menyebabkan khemah kami basah teruk.Bang Mail terpaksa memasak dalam khemah.Malam tu cukup berselera dengan masakan Bang Mail walaupun ringkas saja.(berselera kerana penat menghayun pancing dan sejuk kena hujan)


Monday 30 July 2012

MENJEJAKI SUNGAI SELAI


 

Program ke Sg Selai asalnya masih lambat lagi. Sebenarnya tujuan utama ingin menjejak jeram dihilir Sg Mas. Malangnya kenderaan pengangkut motosikal buat hal pulak sehari sebelum. Dua tiga hari baru boleh siap. Semua Geng Jejak Hutan hampa. Mana tidaknya, semua telah disiapkan. Semua mengeluh dan mendesak untuk xpdc, terutama Halim dan Boy. Halim memanggil semua ahli berkumpul untuk tindakan selanjutnya. Restoran RM Mama Tom Yam Pagoh Jaya tempat berkumpul. Tauke restoran, Bang Mail ikut sama walaupun sibuk. Akhirnya Halim mencadangkan untuk menjelajah Sg.Selai yang katanya telah disiapkan arah dan panduan perjalanan. Kami bersetuju dan hanya berbekalkan peta dan GPS. Kami bersetuju untuk memulakan perjalanan lewat sedikit, jam 7.00 pagi 14.07.2012.

Disinilah bermulanya satu lagi perjalanan bermotosikal yang jauh dan sukar dengan hanya berbekalkan GPS. (Untuk pengetahuan perjalanan sehala sejauh 157 KM). Dari Pagoh aku,Halim,Boy dan Keirul menghala ke Bukit Kepong dan berhenti untuk sarapan. Perjalanan ke Felda Maokil melalui jalan baru yang lurus dengan pemandangan gunung-ganang amat mengujakan. Kami terus menghala ke Pekan Bekok. Perjalanan pagi yang lancar sambil melayan fikiran yang bercampur-baur.



Di Pekan Bekok kami mengambil jalan pintas melalui ladang-ladang sawit untuk ke Pekan Paloh. Tanda arah GPS membawa kami ke pintu masuk Ladang Kayaan. Jalan tar yang sederhana mutunya tetapi lurus sehingga pemandangan penghujung jalan bertemu kaki langit sangat menarik perhatian kami. Kami sentiasa memastikan arah kami betul berpandukan GPS. Walau bagaimana pun arah yang diberikan selalunya tiada jalan. Maklumlah jalan-jalan ladang tidak didaftarkan dalam GPS dan terlalu banyak simpang yang boleh mengelirukan. Bantuan manusia sebenarnya lebih berkesan kerana tunjuk arah yang diberikan dapat mengesan sesuatu tempat tujuan walaupun melalui jalan yang bertentangan dengan arah GPS.


Terlalu banyak kesukaran yang kami tempuhi. Tersesat? Hilang arah? Penat?Lapar? Semuanya itu bersatu dalam diri kami. Hujan lebat dikebanyakkan tempat menambahkan lagi kesukaran kami. Tetapi bagi kami itulah cabarannya dan telah terlalu biasa menghadapinya. Kadang-kadang jika kurang cabaranya, rasa tak puas pulak.


Puas kami menyelusuri jalan-jalan ladang yang bersimpang siur,mendaki dan menurun melalui Ladang Landak, Ladang Tawing, Ladang Tereh Selatan dan akhirnya Ladang Selai. Hasil bantuan abang pengawal dan menetapkan arah melalui GPS kami telah hampir benar dengan Sg Selai. Dari kejauhan kami dapat melihat aliran Sg Selai. Lega rasanya bila perjalanan sejauh 157Km yang memakan masa selama hampir tujuh (7) jam akhirnya membuahkan hasil.



Tak banyak gambar yang dapat dirakam kerana hujan sepanjang masa.Bila kami amati Sg Selai masih mempunyai ciri-ciri yang asal. Mungkin musim hujan menjadikan ainya keruh.




Kami cuba-cuba menguji untuk mengetahui penghuni lubuk Selai. Hebat...campak umpan, sekejap saja dijamah. Mungkin keadaan air yang keruh menjadikan spesis hebat tidak menonjolkan diri. Hanya temperas, baung dan patung (bukan patin) yang galak.Tapi bukan tujuan kami kali ini untuk memburu isi Sg Selai. Jadi aktiviti 'tangkap lepas' sahaja dan hanya mengambil masa yang pendek.Tujuan utama kami ialah 'memetakan' laluan dan menandakan lubok-lubok untuk xpdc akan datang.





InsyaAllah kami akan datang lagi dengan persiapan yang lengkap dan masa yang panjang untuk meneroka lubok-lubok baru. InsyaAllah juga kami akan memuat naik peta ringkas lokasi untuk sama-sama berkongsi keseronokan aktiviti lasak.

Saturday 21 April 2012

GUNUNG MAOKIL


Aku ingin berkongsi pengalaman dengan semua yang menggemari aktiviti lasak,terutama yang mencintai alam semula jadi-hutan,sungai,jeram,pancing,pacat......

Sasaran aku kali ini ialah Hutan Simpan Gunung Maokil.Hutan Simpan Kekal yang merentang dari Labis hingga ke Pagoh(kampung aku).Pelbagai khazanah ada di dalamnya.Tapi aku hanya sukakan kedamaian dan aliran sungainya yang jernih,sejuk dan manis bila diteguk terus.

Aku,Boy(Shafie) dan Keirul merancang untuk merasai sendiri kehebatan Hutan Gunung Maokil.Aku cuba mendapatkan seberapa banyak maklumat dari rakan-rakan yang biasa merentas untuk keseronokan tunggangan motosikal lasak.Sangat sedikit maklumat yang aku dapat terutamanya arah jalan yang kata mereka laluan balak yang banyak sangat simpangnya.Maklumat yang sedikit itu aku beranikan diri bersama dua lagi yang memang lasak tegar-Boy dan Keirul.

Sedikt saja persiapan yang disediakan kerana tujuan kami hanya untuk meneroka/merintis jalan sebelum xpdc seterusnya yang lebih lengkap.Kami menyusuri ladang felda Lenga dan kami menghala ke arah hutan.Kami hanya mengikut naluri dan pengalaman sahaja.Banyak lorong balak yang kami jelajahi tetapi tidak sama dengan tanda-tanda yang diberitahu oleh rakan-rakan.Puas kami bertiga menyusuri larong-lorong balak lama yang bukan kepalang sukarnya.Pokok tumbang,laluan mendaki dan menurun yang curam,jambatan roboh.Kami kuatkan semangat kerana inilah kebiasaannya.Penat,kami akan berhenti rehat sambil berbincang.

Satu ketika kami sampai disatu puncak gunung yang tinggi.lapang dan bersih.Kami terdiam sebentar.Dari situ pemandangan luas terbentang indah.Kami tak tahu dimana kedudukannya.Kami juga tidak tahu pekan apa yang samar-samar di bawah.Akhirnya keputusan diambil untuk kembali semula ke jalan asal untuk tindakan selanjutnya.

Setelah puas keluar masuk lorong balak,akhirnya kami temui tanda yang bertepatan-Betau Balak lama.Dari situ perjalanannya agak mudah kerana kami hanya perlu mengikut laluan utama sehingga penghujung-laluan mati.Dari situ kami menyusuri denai kecil yang muat sebuah motosikal.Tunggangan yang berhati-hati kerana denai dilereng gunung yang curam dan licin.Tambah sukar kerana hujan turun dengan lebat.Tidak dapat merakamkan gambar-gambar pemandangan yang cantik.


Gembira bukan kepalang kami bertiga apabila kesukaran yang dilalui akhirnya terbalas dengan penemuan jeram.Tempat yang cantik,bongkah-bongkah batu besar serta pohon balak yang menjulang tinggi.Tetapi agak mengecewakan kerana aliran airny yang sedikit.Anak-anak sebarau,tengas,kepliau bermain arus.Tidak nampak riak yang besar.Kami tidak menjangka ada yang besar kerana airnya yang cetek.Inilah akibat pemusnahan hutan yang tidak terkawal.Bagaimana 10,20 atau 30 tahun lagi?Gambar ini sahaja yang menjadi kenangan.

Setelah meninjau kehulu sungai yang semakin tinggi-airnya semakin sedikit seperti parit-parit kecil sahaja.
Kami mengambil keputusan untuk keluar kerana hujan sangat lebat serta hutan menjadi semakin gelap.Kami khuatir akan pendakian yang curam dan licin.Ditambah lumpur yang melekat tebal pada tayar.Tepat telahan kami tentang perjalanan pulang.Kami bertiga terpaksa menolak motosikal satu persatu dilaluan tinggi dan curam.Sampai putus nafas.Bukan sekali....Akhirnya menjelang senja kami telah memasuki laluan ladang Felda Lenga.Legaaaa.......


Walaupun kecewa,kami tetap berpuas hati.Itulah kegembiraan kami.

Friday 16 March 2012

JERAM BERUNGUT -Kampung Esuk,Kuala Klawang


"Balik kau menangis la...."(loghat orang asli).Itulah ayat pertama yang keluar dari jawapan seorang Orang Asli bila kami meminta tunjuk arah ke Jeram Berungut sambil memuncungkan bibirnya ke arah tujuan kami.Kami ucapkan terima kasih kepadanya yang akhirnya kami  ketahui namanya ialah Piket.Terima kasih abang Piket kerana dengan bantuannya itu kami dapat menjejaki satu lubuk kelah di kaki Banjaran Titiwangsa.

Kami bertiga-aku,Bang Mail dan Zahid memulakan perjalanan selepas subuh menaiki dua buah motosikal yang dipinjam dari besan Bang Mail.Aku dan Zahid sementara Bang Mail bawa bekalan.Perjalanan dari Kampung Titi menuju destinasi pertama Kg.Chenah.Awal pagi kenderaan tidak sibuk walaupun melalui jalan utama kearah Semenyih.Setengah jam melalui jalan besar kami membeluk arah kanan melalui kebun dan dusun yang aman dan mententeramkan.Jalan berliku-liku tetapi tidak tajam dan beralun membuatkan kami terasa santai melalui desa Chenah.Sebuah pekan kecil tetapi penduduknya sangat ramah dan baik budi.Walaupun baru berkenalan tetapi tidak lokek senyuman dan maklumat.

Setelah mendapatkan bekalan untuk sehari semalam kami meneruskan perjalanan menghala ke arah Kampung Esuk.Kami diberitahu bahawa ianya sebuah perkampungan Orang Asli.Jalan sempit di lereng-lereng bukit menyebabkan kami sangat berhati-hati kerana tidak nampak bahagian hadapan.Nyaris berlaku kemalangan apabila seorang pemuda Orang Asli yang menunggang motosikal hampir melanggar aku.Syukur kepada Allah.
Kiri kanan terdapat dusun dan kebun getah.Sesekali menyelusuri tebing sungai sayup-sayup di bawah.
Perjalanan semakin sukar apabila memasuki kawasan hutan.Permukaan jalan yang kasar,curam dan berliku serta berbukit-bukau menyebabkan perjalanan sangat sukar.Sesekali Zahidin terpaksa memberi kuasa tolakan tambahan kerana bukit yang tidak mampu didaki.

Monday 6 February 2012

SG.SKIN - Kemuncak Cabaran Pemancing Tegar


Sg.Skin....Yat selalu menyebut kehebatannya baik dari segi cabaran memancing atau perjalanannya.Rosli Yahya rakan FB Yat yang juga mahir Sg.Skin melontarkan ajakan yang sukar untuk pamancing tegar hutan menolaknya.Akhirnya kami menyediakan diri dan peralatan terutamanya motosikal yang perlu 100% bersedia untuk cabaran yang bukan kepalang pemancing sanggup menghadapinya.Rosli memberikan banyak panduan untuk persediaan.


Aku,Bang Mail,Yat,Boy,Izzy,Wan dan Keirul berkumpul di rumah Boy untuk memulakan perjalanan.
Setelah memunggah motosikal ke dalam lori,kami memulakan perjalanan (dari Pagoh) jam 12.15 malam. Boy memandu lori ditemani Izzy sementara yang lain bersama 4X4 dipandu Bang Mail.Perjalanan malam melalui Kg.Lenga,Bukit Kepong,Kg.Tekam memang menenangkan.Hanya sesekali berselisih dengan kenderaan lain dan sekumpulan anak muda kampung bersembang di tepi jalan.Mungkin Pasukan Kawalan Kampung. Memasuki Bandar Segamat dari arah Bukit Kepong terus berhenti dipersimpangan ke arah Bandar Muadzam Shah.Berhenti minum kerana masih awal lagi.

Kami terus ke Felda Selancar dimana dari situlah bermulanya xpdc ke Sg.Skin.Rosli bersedia menunggu ketibaan kami.Selesai Solat Subuh kami bersarapan diwarung dan memulakan perjalanan jam 7.30 pagi. Perjalanan melalui jalan Segamat-Muadzam yang sibuk sebelum kami membelok ke arah Felda Permaisuri dan memasuki jalan tanah sebuah estate kelapa sawit.Bermulalah cabaran pertama.



Jalan tanah merah yang keras sesekali melompat di atas bonggol keselamatan jalan,amat mengujakan kami.Habis jalan estate kami mula menyelusuri pinggi hutan.Amat mendamaikan.Jalan balak yang licin sesekali  menggerutu menjadikan kami lebih bersedia untuk cabaran seterusnya.Pada aku dan Geng Jejak Hutan ini belum lagi menjadi cabaran kerana kami telah biasa melalui yang lebih hebat....Melantai dan Jeram Berungut.

Lebih kurang sejam melayani lorong balak yang menyediakan panorama hutan tebal amat mengasyikkan. Sesekali melalui betau balak,pondok Orang Asli dan anak-anak sungai yang mengalir lesu tetapi jernih sehingga menampakan dasar dan anak-anak ikan bermain,menghilangkan rasa penat kami. Akhirnya kami sampai ke sebuah jambatan balak merentangi Sg.Skin.Kami berhenti rehat sambil meninjau lokasi. Sungai  cantik dan asli yang tidak terganggu oleh arus pembangunan.Jernih sehingga menampakan dasar berpasir halus dan batu-batu kerikil.Bergetar jiwa kami tak sabar untuk menduganya."Belum lagi" kata Rosli.Masih jauh dan lebih hebat cabarannya.Rosli memberikan taklimat ringkas kepada kami.

Setelah berehat sebentar dan RY memberikan beberapa maklumat sebagai persediaan kami meredah lorong sempit.Kami memasuki lorong kecil sebelah kanan jalan selari dengan sungai.Aku rasa sesak nafas melalui lorong kecil dipenuhi oleh semak samun dan anak-anak pokok.Kami tidak nampak kiri kanan jalan mahupun hadapan.Kami redah motosikal tanpa mengetahui apa yang ada dihadapan.Seperti lorong sempit dalam sebuah gua.Sesekali kepala kami terlepas keluar dari rimbunan samak samun,dapatlah kami menarik nafas lega sambil mengintai pemandangan luar.Sekejap saja dan kami hilang dalam rimbunan.

Setengah jam kemudian,tiba-tiba terbentang Sg.Skin menyekat perjalanan kami.Bagaimana kami ingin melepasinya?RY ada jawapannya.....


Aduh.....seksanya....terpaksa yang muda mengambilalih.Tapi RY dan Wan dapat beraksi hebat,kerana jenteranya ada kelebihan.Meremang bulu roma kami menantikan apa kesudahan aksi merentas sungai tanpa bantuan.



Hebat pengalaman kami terutamanya bila Bang Mail ingin mencuba.Aku cuba membantu dengan memberikan kuasa tolakkan tambahan.Tapi....kami karam kerana tersalah memilih haluan yang dalam.


Aku dan Bang Mail hanya mengambil peranan kecil dalam operasi ini.Maklumlah
dah veteran.Terima kasih kepada yang muda.

Kami teruskan perjalanan dengan berhati-hati.Permukaan jalan yang sempit dan terlalu licin serta curam membuatkan kami selalu terbabas kerana terlalu sukar mengawal jentera.Ada yang telah putus asa tetapi menguatkan semangat kerana inilah cabarannya.Letih,lapar,dahaga menjadi lawan kami.Telah dua jam kami menunggang dalam laluan sempit dan licin namun destinasi belum kesampaian.


Setelah dua setengah jam menunggang dan melalui pelbagai kesukaran,akhirnya sampailah kami ke destinasi ulu Sg.Skin.Kami berhenti betul-betul di tebing sungai.Terpegun kami dengan keindahan dan kehebatan ciptaan Allah.Jernih airnya,perlahan alirannya,sejuk rasanya.Tiada kata yang kami dapat ungkapkan melainkan merakamkannya.



Aku dan Bang Mail berehat sambil meninjau manakah tempat yang sesuai untuk tapak perkhemahan.Sementara yang lain tak sabar-sabar untuk menduga 
kehebatan Sg.Skin.Maklumlah orang muda..walaupun keletihan,tak menjadi halangan.Tak lama....keheningan Sg.Skin dipecahkan oleh jeritan kegembiraan.Wow....Yat dengan hanya lontaran kedua gewangnya telah disambar tengas.Boleh tahan...


Boy,Wan,Izzy,Keirul tak ketinggalan berlumba-lumba menaikkan tengas dijeram cetek.Ada lauk malam ni.Aliran deras jeram-jeram cetek yang jelas dasarnya berbatu kerikil menjadi tempat mainan tengas.Campak saja umpan,belum sepuluh saat sudah disambar tengas.Memang hebat renggutan tengas.Walaupun sebesar tapak tangan,rentapannya boleh 'menerbangkan' joran.Yang kecil kurang lima jari kami lepaskan semula.Sungguh mengujakan.


Aku dan Bang Mail bersiap menyediakan makan malam.Kami makan dengan berselera sekali berlaukan asam rebus dan panggang tengas.Hmm....memang sedap.

Menjelang senja kami telah bersedia dilubuk-lubuk kecil.Aku berdiri dalam air separas lutut menghadap lubuk untuk mendapatkan sudut yang luas dan mudah melontarkan umpan.Wow....baung....tak sangka lubuk kecil seluas 10'x10' menyimpan baung yang besar dan banyak.Tak boleh leka sedikitpun kerana sembatan yang lewat akan menyebabkan baung menyusup di celah batu.Kami hanya memilih yang besar saja untuk hidangan larut malam.

Malam itu sambil mengadap asam rebus baung kami banyak bercerita tentang keseronokan menjinakkan tengas dan baung.Rosli hanya tersenyum sambil menerangkan bahawa ulu Sg.Skin jarang sekali dijejaki pemancing.Hanya yang tegar dan cekal saja dapat merasai kehebatannya.Perbualan berjalan terus sambil kami berbaring dan merancang untuk sebarau esuk paginya.Lama-kelamaan suasana menjadi hening.Hanya batuk-batuk kecil dan alunan muzik yang dihasilkan Bang Mail yang keletihan kedengaran.

Mungkin keriuhan dan kocakan air dari kami menyebabkan sebarau-sebarau berhati-hati untuk menyambar gewang kami.Hanya beberapa ekor yang sederhana besar saja yang berani menyambar gewang.

Lebih kurang jam sepuluh pagi kami berkemas untuk pulang.Setelah memastikan kebersihan diutamakan,kami mengucapkan selamat tinggal Sg.Skin dengan azam untuk kembali semula dengan masa yang lebih panjang.Insyaallah.


                                      Terima kasih Rosli Yahya.