Wednesday 14 September 2011

HUTAN BRASSAU-KENANGAN YANG MEMBERI PENGAJARAN


Kalau disebut Hutan Dara Brassau,fikiran semua ahli Jejak Hutan akan terus menjurus pada satu peristiwa yang akhirnya nampak seperti lucu.Pada yang melihat,sebenarnya adalah satu perjuangan yang mengerikan.Apatah lagi yang mengalaminya sendiri.Tiada siapa yang dapat menolong melainkan diri sendiri dengan izin Allah SWT. Terasa diri sangat kerdil dan tidak berdaya kerana hanya dapat menyaksikan tanpa dapat memberikan apa-apa bantuan pada rakan-walau di depan mata.Masing-masing hanya dapat melahirkan reaksi dari raut wajah dan regangan otot-otot badan seperti diri sendiri yang mengalami.


Memang tak pernah dengar nama Brassau apatah lagi lokasinya.Seorang kawan(jiran) yang sama hobi tapi berlainan aliran telah menceritakan satu tempat yang sangat menarik perhatianku.Dia tidak minat sungai walaupun lokasi hobinya sama dengan pemburu kelah.Kerjasama erat yang diberikan (jiran le) akhirnya aku dapat mengagak lokasinya.Apa lagi...pakar GPS kami,Yat terus mendapatkan maklumat melalui internet.Dapatlah kami bayangkan lokasinya,satu kawasan yang belum pernah kami jejaki menyebabkan perasaan meronta-ronta untuk segera menerokanya.Terutamaya Bang Mail.




Kami bergerak dari rumah (Pagoh) dengan dua jentera 4x4.Kali ini Zaini turut serta dengan memandu trooper yang kali pertama untuk tempat baru.Kami berlima dengan dua kenderaan.Aku,Bang Mail dan Yat sementara sebuah lagi Zaini dan Boy.Perjalanan kami tidak tergopoh gapah kerana tujuan utama adalah untuk merintis jalan sebelum datang lagi dengan lain-lain anggota.Seperti biasa Res.Wak Lan Kluang menjadi destinasi pertama kami untuk mengalas perut dan sedikit bekal.Lebih kurang jam 11.45 pagi kami teruskan perjalanan ke arah timur dengan pergerakan yang biasa saja.


Bang Mail memperlahankan kenderaan setelah kami hampir dengan kawasan yang diberitahu.Kepala kami bertiga mula terjenguk-jenguk untuk memastikan manakah lorong yang betul seperti diberitahu.Akhirnya kami pasti setelah semua tanda yang diberitahu bertepatan dengan lorong.Lorong lori balak yang sempit tetapi agak rata permukaannya,tanda selalu digunakan.Perjalanan seterusnya seperti biasa dengan jalan-jalan yang kami selalu lalui.Kiri kanan jalan yang bertebing tinggi dengan hutan balak yang menjulang ke langit menyebabkan kami bertiga tidak banyak bercakap.Hanya sekali sekala berkaitan keadaan hutan yang masih belum diteroka menyebabkan kami rasa macam kecut perut juga.Tambahan pula najis 'orang kuat' kerap kami temui disepanjang jalan.


Lebih kurang 45 minit,perjalanan semakin mengelirukan kerana banyak trek balak.Kami kurang pasti yang mana satu.Hubungan telefon jauh sekali.Kami sampai ke satu kongsi balak.Sepi sahaja kerana cuti hujung minggu.Kami berhenti dan cuba meninjau jika ada sesiapa yang boleh membantu.Akhirnya seorang pemuda (orang seberang) muncul dari celah-celah semak bersama seekor anjing.Kami cuba menunjukkan wajah yang tidak mencurigakan.Sapaan kami dibalas mesra tapi masih ada kecurigaan di wajahnya.Akhirnya beliau menunjukkan satu arah menghala ke satu lembah dan disitu ada anak sungai yang katanya banyak penghuninya.Ribuan terima kasih kepada beliau kerana detik itu menjadi asas kepada penerokaan kami seterusnya yang aku rasa sangat mengujakan.


Kami keluar semula menuju laluan utama dan mengambil arah semakin kehulu.Tidak jauh kami temui satu sungai melintang jalan.Arus yang agak deras dengan air agak kelabu sedikit.Panoramanya mengasyikkan sesuai dengan kedudukannya yang jauh kedalam hutan.Dari pengalaman kami,tentu sekali tempat yang menarik kerana sifatnya itu.Jeram cetek,lubuk tenang di selekoh serta rimbunan kayu yang menjadi tempat permainan sebarau.Kami tidak mencuba di situ kerana teruja dengan tempat yang diperkatakan oleh pemuda seberang tadi.


Kami teruskan perjalanan perlahan-lahan sambil meninjau-ninjau lorong yang dimaksudkan.Tepat sekali simpang yang diperkatakan tadi dan kami terus membeluk ke kiri.Satu kawasan datar yang lantainya semak samun resam,pakis dan rotan serta pohon besar yang jarang-jarang menunjukkan ianya tanah rendah berpaya.Lima minit kemudian di kaki bukit kami temui anak sungai yang amat perlahan aliran airnya.Inilah yang diperkatakan oleh pemuda tadi.Lebarnya tidak menentu dan perjalanan airnya banyak dihalang batang-batang balak yang tumbang.Sepi.Tiada kocakan dari sang pemangsa.Hanya anak-anak ikan yang bermain-main di permukaan.Kami berpandangan.Agak kecewa.Kami berlima diam terkedu sambil memerhatikan panorama sepi.Agak lama juga,sepuluh minit mungkin,tiba-tiba kocakan air disana sini menggetarkan kami.Mungkin deruman jentera 4x4 serta suara kami menakutkan penghuni sungai.Kembali ceria.


Apa lagi,semuanya terus mempersiapkan peralatan tak sabar-sabar ingin menduga.Baru saja di campakkan umpan cengkerik terus direnggut.Ohh.....hebat sekali daya lawannya.Berderau kami kerana rupa-rupanya 'sang temperas' yang besar.Tak pernah kami temui temperas sebesar itu,hampir setengah kilogram seekor.Masing-masing berlumba-lumba menaikkan hasil pancingan.Penghuni sungai seolah-olah tidak lagi menghiraukan riuh rendah kami berlima.Hampir sejam berbagai spesis kami naikkan.Temperas,terbul,baung akar,kepeliau dan spesis yang kami jarang temui-baung tikus.Tapi sayangnya tiada spesis kelah di situ,Agak mengcewakan juga.


Inilah yang dikatakan manusia tak pernah cukup dengan apa yang diberi.Kami seolah-olah ingin menghabiskan semuanya tetapi hari hampir gelap walaupun baru jam 5 petang.Zaini mencadangkan agar kami memasang jaring dan menghalau dari hulu.Entah mengapa walaupun jarang-jarang kami menjaring tapi petang itu kami bersetuju.Mungkin tamak.


Setelah jaring direntang memanjang sungai,kami ke hulu sedikit dan mula manggegarkan sungai dengan pelbagai aksi.Kedalaman yang tidak menentu separas dada dan ada kalanya separas lutut saja memudahkan kami menyelongkar akar-akar,batang-batang kayu serta rimbunan pokok renik mengejutkan penghuni sungai.Hasilnya.....memang banyak.Tak puas hati kami lakukan sekali lagi.Kali ini jauh sedikit untuk mendapatkan hasil yang lebih banyak.Kami sangat gembira petang itu sambil riuh rendah kerana deruan sebarau,temperas,terbul melarikan diri ke arah jaring.




Kami memungut hasilnya dengan gembira.Tiba-tiba Boy mengerang dengan kerutan muka yang menunjukkan menahan kesakitan atau kecemasan.Kedua belah tangannya berada didalam air seolah-olah memegang sesuatu yang aku rasa berbahaya atau bisa atau luka.....Aku menjerit bertanya tapi Boy tidak mampu menjawab.Kami panik tak tahu punca dan tak tahu bagaimana mahu bertindak.Aku lihat Boy semakin cemas,kerutan wajahnya semakin membimbangkan kami.Cepat aku menerpa kerahnya untuk mengetahui punca dan memberi bantuan.Aku lihat dia seperti mengumpulkan kekuatan dan dengan diiringi satu dengusan kuat,dia menarik keluar tangannya dan mengangkat tinggi sambil menunjukkan wajah yang terlepas dari bahaya.Seekor lintah telah menembusi lubang alat....nya.Apa lagi,terus kami berlumba-lumba naik kedarat meninggalkan hasil tangkapan.Kami terkejut,tak pernah berlaku selama kami bermain sungai di hutan.


Inilah mungkin satu peringatan kepada kami agar sentiasa berwaspada.Syukur ke Hadrat Illahi.Malam itu kami teruskan dengan memancing dari tebing.Banyak sungguh hasilnya.Tetapi 'kelah' tiada di situ
Kami mengambil keputusan untuk keluar pada tengah malam juga kerana ada sesuatu yang mengganggu kami.Mungkin cukuplah jangan tamak sangat.Lain kali boleh datang lagi untuk melunaskan hobi kami serta mendapat hasil yang baik.

Thursday 1 September 2011

Sungai Mas Yang Mengusik Jiwa


Sg.Mas..Semua pemburu kelah,sebarau,tengas tak ketinggalan baung teruja dengannya.Banyak kali Geng Jejak Hutan menyatukan diri dengannya.Menikmati panorama alam yang mempesona,'Air Terjun Selampai' yang selalunya lembut kadangkala menderu garang,harimau akarnya yang suka mengintai dimalam hari,orang kuat melintasi sungai dengan senyap,kelah,sebarau jeram yang garang,baung malam yang merungut-rungut membuatkan Sg.Mas destinasi lengkap untuk pemancing tegar.Tanyalah RY,KM dan lain-lainnya yang biasa dengan Sg.Mas.Pasti mereka mengiyakan setuju.

Mudah saja untuk sampai kerana kedudukannya dilaluan utama ke TN Endau-Rompin.Persediaan ringkas sudah cukup kerana boleh pulang hari.Tetapi trip kali ini kami mengambil keputusan untuk untuk lebih bersedia dengan pergerakan waktu malam.Bot fiber berenjin dua horsepower menjadi pilihan kerana airnya yang cetek dan banyak halangan kayu,batu besar serta beting pasir.Kami merancang untuk memancing di tengah-tengah lubuk untuk memburu baung di malam hari.Sebarau juga memburu umpan di malam hari.



Setelah semua persiapan dipunggah kejentera 4x4 Toyota Bang Mail,kami memulakan bergerak lebih kurang jam 2.00 petang dan seperti biasa Res.Wak Lan Kluang menjadi destinasi pertama untuk mengalas perut dan bekalan untuk malam.Program kami sampai ke Sg.Mas waktu petang terus casting sebarau.Malam untuk baung di tengah lubuk dan kelah di Jeram Selampai.Kami sampai tepat seperti jangkaan dan bermulalah aktiviti pemburuan penghuni lubuk.






Proses menurunkan bot sukar sedikit kerana tebing curam dan licin.Tetapi kelengkapan cukup jentera 4x4 menjadikannya mudah.Dua kali ulang-alik ke tapak perkhemahan dengan melalui alur sempit dan deras alirannya menguji kemahiran aku mengemudi jentera kecil.Setelah beres semuanya,perkara pertama ialah mendirikan khemah ringkas(melindungi beg dari hujan)dan mengumpul kayu untuk unggun malam.Seterusnya menyediakan makan malam-nasi saja dan teh o.Lauk tunggu hasil tangkapan.Belum pun siap mendirikan khemah,Boy dan Yat yang ditugaskan mencari lauk telah tersenyum lebar dengan seekor sebarau sederhana saiznya dan kelah 500g.Asam rebus sebarau dan kelah untuk kami malam itu.








Sementara kami makan petang merangkap malam,pancingan dasar untuk baung pula.Biasanya di sini menjelang maghrib baung mula menjelmakan diri menyentap umpan-umpan.Memang telah diduga,baung-baung mula membuatkan kami sibuk melayan kerenahnya.Berlumba-lumba kami menaikkan baung.Masing-masing menghentikan suapan nasi berlauk asam rebus sebarau dan kelah kerana teruja melihatkan yang lain melayan kerenah baung yang merungut-rungut.Tidak besar,tapi itulah saiz baung rimba Sg.Mas.




Aku,Boy dan Megat mengambil keputusan untuk berdayung mudik ke hulu ke lubuk yang telah tandakan dan merentangkan tali untuk kami berlabuh dengan selesa.Kami letakkan lampu di kiri kanan tebing untuk mudah kami mengawasi keadaan dan persekitaran sementara kami di tengah lubuk bergelap.Kami mula membuat pancingan dasar.Wow.....baru saja umpan menjejak dasar,sudah disambar ikan.Kelam-kabut kami melayan baung dan tengas.Yang peliknya sebarau pun ikut berebut umpan cengkerik.Mula-mula kami pelik sebarau makan pancingan dasar berumpankan cengkerik di waktu malam.Tiga ekor seberat 500-700g kami naikan.


Baung dan tengas serta rong memang banyak menjadikan aktiviti tangkap dan lepas untuk sikecil supaya ada kesinambungan.


Tiba-tiba aku terperasan ada mata mengawasi kami di tebing sebelah kanan.Matanya besar berkilau memancar oleh tindakbalas cahaya lampu yang kami letakkan di tebing.Aku mencuit Boy dan Wan,lantas kami menumpukan perhatian,siapakah gerangannya.Boy berkeyakinan harimau kumbang kerana badannya yang hitam.Kami biarkan saja kerana tiada tindakbalas dari si kumbang.Kami teruskan memancing tetapi alangkah terperanjatnya kami apabila si kumbang tanpa disedari telah berada digigi air.Kami cuba memberikan tentangan dengan membuat riuh tapi tidak dihiraukan bahkan telah menunjukkan senjata taringnya.Apa lagi.....kami tidak mahukan pertembungan dan mengalah dengan terus melepaskan ikatan bot berhanyut ke tapak perkhemahan.


Sampai di tapak perkhemahan aku tenguk Bang Mail dan Yat yang tekun menunggu di Jeram Selampai telah berjaya menaikkan kelah(kecil),baung dan tengas.Banyak juga.Kami semua pun mengelilingi jeram untuk menjerat si kelah dan baung.Memang hebat kelah jeram....rentapannya menjadikan pancing aku dan Wan melayang terjun ke air.Terkial-kial kami berusaha mengambil kembali pancing,tapi.....kosong.Hampir jam satu pagi,kami mengambil keputusan untuk tidur dan menyediakan diri untuk bertarung dengan sebarau Jeram Selampai esuk pagi








Pagi lagi setelah solat subuh dan sarapan kopi o dengan mee segera,masing-masing bergegas menyambar gewang mencari lubuk untuk bertarung dengan sebarau.Memang hebat pagi tersebut.Bang Mail yang berada di hujung lubuk di celah-celah kayu balak separuh tenggelam telah berjaya menaikkan sebarau yang boleh tahan besar.Suasana hening tiba-tiba menjadi riuh oleh teriakan-teriakan dan laungan kegembiraan kerana reaksi menaikkan sebarau.


Matahari semakin meninggi dan tiada lagi rentapan sebarau.Masing-masing menggoyangkan kepala isyarat untuk menamatkan aktiviti dan mula berkemas untuk pulang.Masing-masing ceria tapi ada yang kecewa kerana masih belum mendapat lesen kelah lagi.Saborr la Yat.....trip akan datang insyaallah.Boy senyum sampai telinga kerana walaupun kecil tetapi lesen kelah telah berjaya.


Sg.Mas......

Thursday 18 August 2011

Lemakoh Yang Mempersona


Kuala Lemakoh Kg.Peta,Endau Rompin.Namanya saja membuat aku tak sabar untuk menjadikan diri aku bersatu dengan alamnya yang menggamit hati memuji kebesaran Allah SWT.Masih ada lagi alam semulajadi yang dapat dinikmati dicelah-celah penerokaan alam yang rakus untuk keuntungan duniawi.

Yat (Halim) yang mula-mula melontarkan cadangan untuk kami menyelusuri Sungai Endau.Lobinya membuat aku dan Bang Mail tewas walaupun cadangan awal untuk ke Kemapan.Orang hubungan di Kg.Peta,Pak Harun memberikan persetujuan untuk mengemudikan kami.Persediaan rapi dibuat sambil mengumpul sebarapa banyak maklumat berkaiatan Kuala Lemakoh terutama abang KM yang banyak pengalaman sudi membantu.

Biasalah aku dan Bang Mail memang tak boleh tidur sebelumnya.Jam 10 malam 26.03.2010 aku,Bang Mail,Mirul,Yat dan Izzybertolak dari rumah dengan 4x4 toyota Bang Mail.Kami berbual kosong sehinggalah sampai ke Rest.Wak Lan Kluang untuk ngeteh dan alas perut(Tak lalu makan melainkan Mirul n Izzy).Jam 1pg kami teruskan perjalanan ke Kahang dan menyusuri jalan estate ke Kg Peta.Jalan tanah merah yang berlopak-lopak dan berbonggol.Bagi Bang Mail yang memandu 4x4 telah mahir dengan jalan off road.Tak ada masalah baginya meluncur laju cuma kami rasa macam dalam mesin basuh.

Melepasi Sungai Mas menggamit perasaan kami kerana banyak kenangan di situ.Kali ini jalannya berlopak-lopak sebesar kuali orang rumah.Tak boleh pilih langsung.Bang Mail memperlahankan pemanduan tetapi kami tetap berasa macam dalam mesin basuh.Lagi hebat hingga p******g kami kebas.


Semakin hampir dengan Kg.Peta yang dingin,sepi dan hanya nampak api pelita yang berkelip-kelip dari rumah rumah terasa seperti aku di kampung zaman tahun 60'an.Melayan perasaan yang kembali ketahun 60'an sebelum ada bekalan elekterik membuatkan aku bersyukur akan kemakmuran negara.Aku berada didua zaman.

Pakar GPS kami,Yat menumpukan perhatian pada rumah-rumah untuk mencari tanda rumah Pak Harun.Tepat rujukannya seperti diberitahu oleh Pak Harun.Rumah ala pondok di lerang bukit curam dengan ketinggian tak kurang 10' tinggi kami hampiri dan ternyata Pak Harun belum (tak) tidur dan mesra menjawab sapaan kami.Kami disambut manja beberapa anak anjing peliharaan Pak Harun menyebabkan kami melilau-lilau mengatur langkah mengelakkan hiduan manja si popi yang montel.Kami mendaki lereng bukit dan tangga tinggi rumah Pak Harun.

Kami berbual kosong (tentunya berkaitan objektif kami) sementara menunggu hari cerah.Perbincangan dan cadangan-cadangan dikemukakan untuk mendapatkan yang terbaik pada xpdc ini.Tak sabar walaupun ada yang berpura-pura baring pejam mata.Badan baru terasa hasilnya digolek-golek dalam mesin basuh.Hari cerah kami terus memunggah peralatan n bekalan ke dalam perahun panjang beratap.Kami rasa 15 orang boleh dimuatkan kedalamnya.Memang selesa.Pengkalan yang terletak di belakang rumah Pak Harun sungguh curam.Kami berhati-hati.




Dengan penuh yakin Pak Harun mengemudikan perahu panjangnya sambil mengheret sebiji perahu ke kiri,ke kanan,menderum laju tiba-tiba perlahan.Begitulan corak pengemudiannya untuk mencari laluan selamat kerana   banyak tunggul,kayu-kayu,batu-batu besar dan beting pasir.Aku kecut perut melihat banyaknya penunggu yang bila-bila masa saja boleh merobek perahu.Lama-kelamaan kami rasa terbiasa dan seterusnya menikmati pemandangan yang sangat mempesona.Sesekali melalui lubuk-lubuk dalam dan kami saling berpandangan sambil menunjukkan isyarat bagus dengan ibu jari.


Hampir dua jam meluncur smbil menikmati pemandangan yang mempesona akhirnya kami sampai ke lubuk yang terakhir yang menjadi destinasi awal.Perahu dilabuhkan disebelah kiri tebing bertentangan dengan lubuk.Tak sabar-sabar kami melompat turun sambil mencapai peralatan.Kami menyeberang perlahan-lahan takut mengganggu ketenteraman penghuni lubuk.

Mula-mula yang penting awasi keadaan dan pastikan persekitaran kerana kawasan ini baru bagi kami.Aku ambil keputusan untuk memancing dasar kerana merasa yakin dengan kelembutan aliran arus ditengah lubuk sementara dihujungnya dilaluan sempit arus menderu membuatkan keyakinan kelah menghuni dicelah-celah tebing batu.Bang Mail aku lihat telah melayangkan gewang ke arah hujung lubuk dicelah-celah kayu ranting yang menjadi sarang sebarau.Yat,Izzy dan Mirul sibuk mendirikan khemah ringkas kerana kawasan terbuka yang membuatkan kami separuh masak dibuatnya.

Tiba-tiba aku terpandang aksi Bang Mail.Woo....melengkung 'U' joran.Mulutnya ternganga besar tapi hanya wow...wow... saja perkataan yang terkeluar dari mulutnya.Aku lihat aksinya memutar mesin Shimano 2000 sambil cuba mengelakkan mangsa dari menyelinap ke ranting-ranting.Kami hanya membantu memberikan sokongan moral sambil mengerumuni untuk mengetahui berapa besarkah sebarau yang membuatkan joran melentik 'U'.Aduh.... besarnya....!! Cemburu aku tapi tetap gembira kerana trip sudah mula menunjukkan hasil.Syabas!

Semangat kami mula membara tapi cuaca yang panas terik mungkin membuatkan penghuni sungai rimba ini berehat dan membuatkan kami mula lesu dan mengambil keputusan untuk makan dan menumpukan ke lubuk lain yang berhampiran selepas itu.Makan,solat,rehat sambil menyediakan persiapan untuk memburu sebarau 
Sungai Endau.

Aku mendayung perlahan sambil Yat meliar mengawasi lubuk mencari tanda-tanda kehadiran sebarau. Dengan berlutut dihaluan perahu Yat mula melontarkan gewang 'AbuIsland' kebanggaannya.Aku melilau-lilau mengemudikan perahu agar Yat mendapat ruang yang selesa.Tiba-tiba kocakan kuat diair memberikan satu tindakbalas spontan Yat menghayun joran ke belakang dan cuba mengimbangkan badan sambil melayan henjutan mangsa yang aku kira 1-2 kg besarnya.Dengan tenang Yat yang memang berpengalaman mengendalikan sebarau besar(Kelah belum lagi tau) menjinakkan mangsa yang mula keletihan.Aku menjerit wowww...... tanda kemenangan apabila sebarau yang aku anggarkan 1.5kg menggelepar dalam perahu.



Kami mengambil keputusan untuk berpatah balik ke perahu induk kerana hampa tiada lagi Sang Sebarau yang menjawab sapaan Yat.Aku pun terasa sangat letih berdayung dan tak tidur semalaman.Semua tersenyum lebar kerana ada habuan untuk makan malam.Petang itu kami hanya berehat dan cuba lelapkan mata kerana ada satu lagi cabaran hebat di Kuala Lemakoh pada sebelah malamnya.Kami harap mendapat kelah kerana kata Pak Harun cuaca siang yang panas membuatkan Kelah menyatukan dirinya dengan dinding batu dan tak mahu keluar.Baung pun katanya hebat di Kuala Lemakoh.Hmm....asam rebus baung kegemaran Bang Mail dan Mirul.







Sampai di Kuala Lemakoh kami membuat persiapan,yang penting khemah ringkas dan kayu untuk unggun api.Setelah siap,aku masak nasi dan buat teh o.Lauk belum ada.Tunggu baung,Menjelang senja kami tak menang tangan berlumba-lumba menaikkan baung.Tak besar tapi cukup untuk buat lauk.Kata Pak Harun,saiz tersebut (sebesar lengan budak) adalah saiz yang biasa.Jarang melebihi 500g.Malam tu makan nasi berlauk baung asam rebus.Phewww.......memang sedap baung Lemakoh.Puas hati dengan tangkapan baung malam itu yang cukup banyak untuk dibawa balik sedikit seorang.Kami mengambil keputusan menghentikan tangkapan baung kerana dah banyak.Takut membazir.

Tiada kelah malam itu.Tapi tak mengapa kerana kami telah biasa dengan tangan kosong.Walau macamana sekalipun kami sangat berpuas hati kerana telah mendapat empat sebarau dan banyak baung serta pemandangan "Lemakoh yang mempesonakan".Esuk kami akan menyediakan diri untuk satu perjalanan pulang yang panjang dan mencabar.Sama seperti semasa datang-dalam mesin basuh,





Sunday 31 July 2011

Catatan ke Kuala Melantai - Mei 2011


Telah lama aku ingin masuk tempat ni.Kata kwn2 tempat ni boleh cari lesen kelah.Tp bkn itu tujuan aku sebab aku dah dpt lesen.Aku sukakan cabaran perjalanan dan alam semula jadinya.Semua org spt aku tahu betapa tenangnya dlm rimba yang sungainya mengalir deras,sejuk dan segar.Saat ditunggu hampir tiba.Biasa la aku memang tak blh tidur sehari sebelumnya.

Mlm tu lbh kurang kul 10mlm aku dan geng biasa Bang Mail,Yat,Boy,Izzy,Wan,Mirul dan ahli baru Keirul punggah motor dalam lori.Rehat kejap kami mulakan perjalanan menaiki jentera 4x4 bang Mail..Boy pandu lori bertemankan Izzy.Minum kejap kt port biasa Wak Lan Kluang dan sampai Kahang kul 3.45pagi.

Kami bersiap sedia dan lbh krg kul 4.15pg bandar Kahang kami ceriakan dengan jentera 2 roda kami.Melalui jalan ke kampung.Peta dlm kedinginan pagi, kami memulakan satu cabaran yang kami belum tahu lagi dugaannya.Mula2 aku yang tebabas.Tau2 aku dan msikal dah dalam parit.Mula2 panik tapi lps 2 semua ketawa sbb aku bkn tebabas tapi menuju laluan parit yg ku sngka laluan jln..Haha....






Perjlnan melalui jln estate ini mmg aku dah biasa lakukan sjk th 1998 lg.Tapi kali ni terasa mcm seluruh bdnku bergoncang.Bang Mail yg plg tua dlm kump ini aku rasa pun mcm 2 gak.Sampai checkpoint pertama di jambatan Sg Mas kul 5.00pg.Kami relak jap menanti wkt subuh dan cuaca cerah utk expd lebih mncabar.


Cuaca cerah sedikit kami teruskan perjalanan melalui lereng2 bukit bersempadankan sg.Mas disblah kanan.Melepasi Lubuk S tiada yg sukar lagi cuma aku yg paling dpn dgn Yat nyaris ditrjah kijang yang terperanjat dek deruman jntera 2 roda yg mmmg bingit.


Inilah perjalanan plg sukar aku rasa sepanjang hidup aku bersama Bang Mail n Yat ( 3 org ni mesti ada tiap kali expd)meneroka hutan.Batu2 sebesar penumbuk dan kelapa gading menghiasi permukaan jln dsmping lumpur tebal.Anak2 sungai yg cetek airnya tapi dlm juragnya menjadi ujian kpd kami terutama yang muda2 macam Izzy,Wan n Keirul membantu kami yang veteran.


Jam 10.00 pg bayang Melantai blum lagi nampak tp kami dah mula keletihan .Semangat saja yang tinggal.Tapi abang ku Bang Mail mmg hebat walaupun berusia 57 th tapi dpt menyaingi yang muda.Kami panik bila dia
trhumban dg msikal kedlm gaung 10-12kaki dlmnya.Itu yg aku kata dia hebat sbb dpt bangun semula dan teuskan perjalanan.


Acara tolak menolak msikal yg melalui lurah lumpur dah jadi biasa.Nasib baik kump kami ni yg muda2 berbdn tegap,diia org lah yang mmbntu.Satu ketika msikal aku 100spot smpai x larat memanjat satu jurang 45' terus layu.Makenik kami Keirul dpt menyelsaikannya.Alhamdulillah.







Disatu laluan kami terperanjat dan gementar kerana terjumpa satu tapak Mak Belang n babynya.Masih baru lagi ikut perkiraan Bang Mail yg dah berbelas tahun dlm hutan sebelumnya.Bau melantai dibawa bayu hutan dah terasa ikut kata pakar GPS Yat.Oleh kerana takutkan Mak Belang,satu anak sungai yang dlm dan lebar dgn hanya sebtg balak sebagai titian kami jadikan alasan utk berhenti dan brpth balik ke lubuk sebelumnya.Kebetulan bekalan petrol kami telah berkurangan dek kerana msikal Wan yg kuat cekik minyak.Keputusan telah diambil wlaupun semua kecewa.Melantai kira2 1km lagi didpn.



Kami brpatah balik 15mnt n smpai lubuk yg sungguh cantik.Dsblah kirinya jeram yg menderu germersik nada alunan airnya dihiasi kwsn lapang berbatu kecil.Lubuk yg tenang ainya membuat aku dan Bang Mail terpegun takterkata kagumnya.Lama juga kami melayan keindahan dgn tidak berkata-kata.Sgala penat kami rasakan telah terbayar dek keagungan Allh SWT.Sementara dihujung lubuknya mengalir deras air membeluk kekanan mengelak kaki bukit lalu membentuk tanjung dgn pantai pasir memutih menganjur luas dari daratan.Yg muda2 aku lihat x sabar2 lalu membenamkan diri kedlm air yg jernih sejuk menyegarkan.Mereka lupa itulah lubuk kelah yang mahu dipancing.Tapi aku x kisah kerana itulh kegembiraan penJEJAK HUTAN setelah bersusah payah mengharungi perjalanan sgt sukar.



Oleh kerana objektif kami ke Kuala Melantai x tercapai,aktiviti memancing di sini x begitu teruja.Walau bagaimana pun kump kami masih mendpt beberapa ekor sebarau pada siangnya.Sementara waktu malam kami habiskan dgn berbual-bual merancang untuk kembali semula dilain masa sambil melayan baung yang sederhana saiznya tetapi banyak.Mewah kami makan malam dgn asam rebus baung dan panggang sebarau.Emmmmm....berselera semua.Tentulah aku n Bang Mail yang masak kan.


Esuk setelah bersiap dan membersihkan kawasan(mesti ada sikap sayangkan alam semula jadi) kami mengucapkan selamat tinggal dgn tekad utk kembali dgn masa yg lebih pnjang lagi.Perjalanan balik....emmm... macam dtg jugak tapi kami semua puas.Selamat!