Wednesday 14 September 2011

HUTAN BRASSAU-KENANGAN YANG MEMBERI PENGAJARAN


Kalau disebut Hutan Dara Brassau,fikiran semua ahli Jejak Hutan akan terus menjurus pada satu peristiwa yang akhirnya nampak seperti lucu.Pada yang melihat,sebenarnya adalah satu perjuangan yang mengerikan.Apatah lagi yang mengalaminya sendiri.Tiada siapa yang dapat menolong melainkan diri sendiri dengan izin Allah SWT. Terasa diri sangat kerdil dan tidak berdaya kerana hanya dapat menyaksikan tanpa dapat memberikan apa-apa bantuan pada rakan-walau di depan mata.Masing-masing hanya dapat melahirkan reaksi dari raut wajah dan regangan otot-otot badan seperti diri sendiri yang mengalami.


Memang tak pernah dengar nama Brassau apatah lagi lokasinya.Seorang kawan(jiran) yang sama hobi tapi berlainan aliran telah menceritakan satu tempat yang sangat menarik perhatianku.Dia tidak minat sungai walaupun lokasi hobinya sama dengan pemburu kelah.Kerjasama erat yang diberikan (jiran le) akhirnya aku dapat mengagak lokasinya.Apa lagi...pakar GPS kami,Yat terus mendapatkan maklumat melalui internet.Dapatlah kami bayangkan lokasinya,satu kawasan yang belum pernah kami jejaki menyebabkan perasaan meronta-ronta untuk segera menerokanya.Terutamaya Bang Mail.




Kami bergerak dari rumah (Pagoh) dengan dua jentera 4x4.Kali ini Zaini turut serta dengan memandu trooper yang kali pertama untuk tempat baru.Kami berlima dengan dua kenderaan.Aku,Bang Mail dan Yat sementara sebuah lagi Zaini dan Boy.Perjalanan kami tidak tergopoh gapah kerana tujuan utama adalah untuk merintis jalan sebelum datang lagi dengan lain-lain anggota.Seperti biasa Res.Wak Lan Kluang menjadi destinasi pertama kami untuk mengalas perut dan sedikit bekal.Lebih kurang jam 11.45 pagi kami teruskan perjalanan ke arah timur dengan pergerakan yang biasa saja.


Bang Mail memperlahankan kenderaan setelah kami hampir dengan kawasan yang diberitahu.Kepala kami bertiga mula terjenguk-jenguk untuk memastikan manakah lorong yang betul seperti diberitahu.Akhirnya kami pasti setelah semua tanda yang diberitahu bertepatan dengan lorong.Lorong lori balak yang sempit tetapi agak rata permukaannya,tanda selalu digunakan.Perjalanan seterusnya seperti biasa dengan jalan-jalan yang kami selalu lalui.Kiri kanan jalan yang bertebing tinggi dengan hutan balak yang menjulang ke langit menyebabkan kami bertiga tidak banyak bercakap.Hanya sekali sekala berkaitan keadaan hutan yang masih belum diteroka menyebabkan kami rasa macam kecut perut juga.Tambahan pula najis 'orang kuat' kerap kami temui disepanjang jalan.


Lebih kurang 45 minit,perjalanan semakin mengelirukan kerana banyak trek balak.Kami kurang pasti yang mana satu.Hubungan telefon jauh sekali.Kami sampai ke satu kongsi balak.Sepi sahaja kerana cuti hujung minggu.Kami berhenti dan cuba meninjau jika ada sesiapa yang boleh membantu.Akhirnya seorang pemuda (orang seberang) muncul dari celah-celah semak bersama seekor anjing.Kami cuba menunjukkan wajah yang tidak mencurigakan.Sapaan kami dibalas mesra tapi masih ada kecurigaan di wajahnya.Akhirnya beliau menunjukkan satu arah menghala ke satu lembah dan disitu ada anak sungai yang katanya banyak penghuninya.Ribuan terima kasih kepada beliau kerana detik itu menjadi asas kepada penerokaan kami seterusnya yang aku rasa sangat mengujakan.


Kami keluar semula menuju laluan utama dan mengambil arah semakin kehulu.Tidak jauh kami temui satu sungai melintang jalan.Arus yang agak deras dengan air agak kelabu sedikit.Panoramanya mengasyikkan sesuai dengan kedudukannya yang jauh kedalam hutan.Dari pengalaman kami,tentu sekali tempat yang menarik kerana sifatnya itu.Jeram cetek,lubuk tenang di selekoh serta rimbunan kayu yang menjadi tempat permainan sebarau.Kami tidak mencuba di situ kerana teruja dengan tempat yang diperkatakan oleh pemuda seberang tadi.


Kami teruskan perjalanan perlahan-lahan sambil meninjau-ninjau lorong yang dimaksudkan.Tepat sekali simpang yang diperkatakan tadi dan kami terus membeluk ke kiri.Satu kawasan datar yang lantainya semak samun resam,pakis dan rotan serta pohon besar yang jarang-jarang menunjukkan ianya tanah rendah berpaya.Lima minit kemudian di kaki bukit kami temui anak sungai yang amat perlahan aliran airnya.Inilah yang diperkatakan oleh pemuda tadi.Lebarnya tidak menentu dan perjalanan airnya banyak dihalang batang-batang balak yang tumbang.Sepi.Tiada kocakan dari sang pemangsa.Hanya anak-anak ikan yang bermain-main di permukaan.Kami berpandangan.Agak kecewa.Kami berlima diam terkedu sambil memerhatikan panorama sepi.Agak lama juga,sepuluh minit mungkin,tiba-tiba kocakan air disana sini menggetarkan kami.Mungkin deruman jentera 4x4 serta suara kami menakutkan penghuni sungai.Kembali ceria.


Apa lagi,semuanya terus mempersiapkan peralatan tak sabar-sabar ingin menduga.Baru saja di campakkan umpan cengkerik terus direnggut.Ohh.....hebat sekali daya lawannya.Berderau kami kerana rupa-rupanya 'sang temperas' yang besar.Tak pernah kami temui temperas sebesar itu,hampir setengah kilogram seekor.Masing-masing berlumba-lumba menaikkan hasil pancingan.Penghuni sungai seolah-olah tidak lagi menghiraukan riuh rendah kami berlima.Hampir sejam berbagai spesis kami naikkan.Temperas,terbul,baung akar,kepeliau dan spesis yang kami jarang temui-baung tikus.Tapi sayangnya tiada spesis kelah di situ,Agak mengcewakan juga.


Inilah yang dikatakan manusia tak pernah cukup dengan apa yang diberi.Kami seolah-olah ingin menghabiskan semuanya tetapi hari hampir gelap walaupun baru jam 5 petang.Zaini mencadangkan agar kami memasang jaring dan menghalau dari hulu.Entah mengapa walaupun jarang-jarang kami menjaring tapi petang itu kami bersetuju.Mungkin tamak.


Setelah jaring direntang memanjang sungai,kami ke hulu sedikit dan mula manggegarkan sungai dengan pelbagai aksi.Kedalaman yang tidak menentu separas dada dan ada kalanya separas lutut saja memudahkan kami menyelongkar akar-akar,batang-batang kayu serta rimbunan pokok renik mengejutkan penghuni sungai.Hasilnya.....memang banyak.Tak puas hati kami lakukan sekali lagi.Kali ini jauh sedikit untuk mendapatkan hasil yang lebih banyak.Kami sangat gembira petang itu sambil riuh rendah kerana deruan sebarau,temperas,terbul melarikan diri ke arah jaring.




Kami memungut hasilnya dengan gembira.Tiba-tiba Boy mengerang dengan kerutan muka yang menunjukkan menahan kesakitan atau kecemasan.Kedua belah tangannya berada didalam air seolah-olah memegang sesuatu yang aku rasa berbahaya atau bisa atau luka.....Aku menjerit bertanya tapi Boy tidak mampu menjawab.Kami panik tak tahu punca dan tak tahu bagaimana mahu bertindak.Aku lihat Boy semakin cemas,kerutan wajahnya semakin membimbangkan kami.Cepat aku menerpa kerahnya untuk mengetahui punca dan memberi bantuan.Aku lihat dia seperti mengumpulkan kekuatan dan dengan diiringi satu dengusan kuat,dia menarik keluar tangannya dan mengangkat tinggi sambil menunjukkan wajah yang terlepas dari bahaya.Seekor lintah telah menembusi lubang alat....nya.Apa lagi,terus kami berlumba-lumba naik kedarat meninggalkan hasil tangkapan.Kami terkejut,tak pernah berlaku selama kami bermain sungai di hutan.


Inilah mungkin satu peringatan kepada kami agar sentiasa berwaspada.Syukur ke Hadrat Illahi.Malam itu kami teruskan dengan memancing dari tebing.Banyak sungguh hasilnya.Tetapi 'kelah' tiada di situ
Kami mengambil keputusan untuk keluar pada tengah malam juga kerana ada sesuatu yang mengganggu kami.Mungkin cukuplah jangan tamak sangat.Lain kali boleh datang lagi untuk melunaskan hobi kami serta mendapat hasil yang baik.

Thursday 1 September 2011

Sungai Mas Yang Mengusik Jiwa


Sg.Mas..Semua pemburu kelah,sebarau,tengas tak ketinggalan baung teruja dengannya.Banyak kali Geng Jejak Hutan menyatukan diri dengannya.Menikmati panorama alam yang mempesona,'Air Terjun Selampai' yang selalunya lembut kadangkala menderu garang,harimau akarnya yang suka mengintai dimalam hari,orang kuat melintasi sungai dengan senyap,kelah,sebarau jeram yang garang,baung malam yang merungut-rungut membuatkan Sg.Mas destinasi lengkap untuk pemancing tegar.Tanyalah RY,KM dan lain-lainnya yang biasa dengan Sg.Mas.Pasti mereka mengiyakan setuju.

Mudah saja untuk sampai kerana kedudukannya dilaluan utama ke TN Endau-Rompin.Persediaan ringkas sudah cukup kerana boleh pulang hari.Tetapi trip kali ini kami mengambil keputusan untuk untuk lebih bersedia dengan pergerakan waktu malam.Bot fiber berenjin dua horsepower menjadi pilihan kerana airnya yang cetek dan banyak halangan kayu,batu besar serta beting pasir.Kami merancang untuk memancing di tengah-tengah lubuk untuk memburu baung di malam hari.Sebarau juga memburu umpan di malam hari.



Setelah semua persiapan dipunggah kejentera 4x4 Toyota Bang Mail,kami memulakan bergerak lebih kurang jam 2.00 petang dan seperti biasa Res.Wak Lan Kluang menjadi destinasi pertama untuk mengalas perut dan bekalan untuk malam.Program kami sampai ke Sg.Mas waktu petang terus casting sebarau.Malam untuk baung di tengah lubuk dan kelah di Jeram Selampai.Kami sampai tepat seperti jangkaan dan bermulalah aktiviti pemburuan penghuni lubuk.






Proses menurunkan bot sukar sedikit kerana tebing curam dan licin.Tetapi kelengkapan cukup jentera 4x4 menjadikannya mudah.Dua kali ulang-alik ke tapak perkhemahan dengan melalui alur sempit dan deras alirannya menguji kemahiran aku mengemudi jentera kecil.Setelah beres semuanya,perkara pertama ialah mendirikan khemah ringkas(melindungi beg dari hujan)dan mengumpul kayu untuk unggun malam.Seterusnya menyediakan makan malam-nasi saja dan teh o.Lauk tunggu hasil tangkapan.Belum pun siap mendirikan khemah,Boy dan Yat yang ditugaskan mencari lauk telah tersenyum lebar dengan seekor sebarau sederhana saiznya dan kelah 500g.Asam rebus sebarau dan kelah untuk kami malam itu.








Sementara kami makan petang merangkap malam,pancingan dasar untuk baung pula.Biasanya di sini menjelang maghrib baung mula menjelmakan diri menyentap umpan-umpan.Memang telah diduga,baung-baung mula membuatkan kami sibuk melayan kerenahnya.Berlumba-lumba kami menaikkan baung.Masing-masing menghentikan suapan nasi berlauk asam rebus sebarau dan kelah kerana teruja melihatkan yang lain melayan kerenah baung yang merungut-rungut.Tidak besar,tapi itulah saiz baung rimba Sg.Mas.




Aku,Boy dan Megat mengambil keputusan untuk berdayung mudik ke hulu ke lubuk yang telah tandakan dan merentangkan tali untuk kami berlabuh dengan selesa.Kami letakkan lampu di kiri kanan tebing untuk mudah kami mengawasi keadaan dan persekitaran sementara kami di tengah lubuk bergelap.Kami mula membuat pancingan dasar.Wow.....baru saja umpan menjejak dasar,sudah disambar ikan.Kelam-kabut kami melayan baung dan tengas.Yang peliknya sebarau pun ikut berebut umpan cengkerik.Mula-mula kami pelik sebarau makan pancingan dasar berumpankan cengkerik di waktu malam.Tiga ekor seberat 500-700g kami naikan.


Baung dan tengas serta rong memang banyak menjadikan aktiviti tangkap dan lepas untuk sikecil supaya ada kesinambungan.


Tiba-tiba aku terperasan ada mata mengawasi kami di tebing sebelah kanan.Matanya besar berkilau memancar oleh tindakbalas cahaya lampu yang kami letakkan di tebing.Aku mencuit Boy dan Wan,lantas kami menumpukan perhatian,siapakah gerangannya.Boy berkeyakinan harimau kumbang kerana badannya yang hitam.Kami biarkan saja kerana tiada tindakbalas dari si kumbang.Kami teruskan memancing tetapi alangkah terperanjatnya kami apabila si kumbang tanpa disedari telah berada digigi air.Kami cuba memberikan tentangan dengan membuat riuh tapi tidak dihiraukan bahkan telah menunjukkan senjata taringnya.Apa lagi.....kami tidak mahukan pertembungan dan mengalah dengan terus melepaskan ikatan bot berhanyut ke tapak perkhemahan.


Sampai di tapak perkhemahan aku tenguk Bang Mail dan Yat yang tekun menunggu di Jeram Selampai telah berjaya menaikkan kelah(kecil),baung dan tengas.Banyak juga.Kami semua pun mengelilingi jeram untuk menjerat si kelah dan baung.Memang hebat kelah jeram....rentapannya menjadikan pancing aku dan Wan melayang terjun ke air.Terkial-kial kami berusaha mengambil kembali pancing,tapi.....kosong.Hampir jam satu pagi,kami mengambil keputusan untuk tidur dan menyediakan diri untuk bertarung dengan sebarau Jeram Selampai esuk pagi








Pagi lagi setelah solat subuh dan sarapan kopi o dengan mee segera,masing-masing bergegas menyambar gewang mencari lubuk untuk bertarung dengan sebarau.Memang hebat pagi tersebut.Bang Mail yang berada di hujung lubuk di celah-celah kayu balak separuh tenggelam telah berjaya menaikkan sebarau yang boleh tahan besar.Suasana hening tiba-tiba menjadi riuh oleh teriakan-teriakan dan laungan kegembiraan kerana reaksi menaikkan sebarau.


Matahari semakin meninggi dan tiada lagi rentapan sebarau.Masing-masing menggoyangkan kepala isyarat untuk menamatkan aktiviti dan mula berkemas untuk pulang.Masing-masing ceria tapi ada yang kecewa kerana masih belum mendapat lesen kelah lagi.Saborr la Yat.....trip akan datang insyaallah.Boy senyum sampai telinga kerana walaupun kecil tetapi lesen kelah telah berjaya.


Sg.Mas......