Thursday 25 October 2012

Menjejak Jeram Hutan Simpan Pahang



Atas desakan anak-anak buah yang teringin untuk merasai pengalaman lasak meneroka rimba,jeram,pacat dan tentu sekali merasai kejernihan dan kedinginan sungai rimba,Geng Jejak Hutan merancang untuk satu xpdc yang agak jauh dan mencabar.Kali ini trip orang muda yang tak sabar-sabar ingin merasai sendiri pengalaman menjelajah jeram rimba.Hutan Simpan Pahang dalam jajahan Rompin menjadi destinasi .Trip kali ini bertambah ramai.Solihin,Jay dan Hairee selain anggota biasa Jejak Hutan.


Seperti biasa kami bergerak awal dari Pagoh lebih kurang jam 12.30 malam.Tujuan kami ialah untuk sampai di pintu hutan pada awal subuh.Perjalanan tenang melalui pekan Bukit Kepong menghala ke Bandar Segamat.Kami berhenti untuk berehat dan mengalas perut di pinggir bandar sambil berbincang tentang perjalanan seterusnya.


Menruskan perjalanan melalui lebuh raya Segamat-Kuantan yang sibuk walaupun awal pagi menjadikan kami berhati-hati dan memberi sepenuh tumpuan kepada aliran trafik.Setelah tiga (3) jam menunggang akhirnya kami sampai dilaluan masuk.Masih awal untuk kami solat subuh.Atas cadangan orang paling berpengalaman dalam Jejak Hutan-Bang Mail-kami mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan. Menunggang dilaluan balak yang kasar sudah biasa bagi kami tapi tidak untuk yang baru.Untuk setengah jam pertama,mereka berhati-hati.Seterusnya merekalah yang memulakan tunggang laju.

Akhirnya kami sampai kedestinasi dengan selamat.Masing-masing mengadu sakit punggung. Walaupun begitu nampaknya mereka tak sabar-sabar dan terus meninjau kedudukan sungai.Gema deruan jeram dapat kami dengar jelas,membuatkan hati kami tak sabar untuk menguji kehebatan ciptaan Allah dan isinya.



Maha hebat ciptaan Allah.Sungguh jernih airnya sehingga ke dasar.Nampak jelas anak-anak sebarau,lampam,rong berkejar-kejaran bermain arus.Apa lagi,masing-masing terus menyediakan peralatan untuk menguji sebarau.Dengan pantas Keirul berjaya menjinakkan sebarau bersaiz sederhana.Aku dan Bang Mail sebagai veteran relax saja sambil menyediakan sarapan dan khemah.

   
Menjelang tengah hari masing-masing telah kepenatan dan kelaparan.Selepas makan kami mendirikan khemah dan berehat (tidur) untuk menunggu hari petang.Kami akan cuba menjinakkan sebarau lagi.


Pancingan dasar menghasilkan banyak ikan rong dan tengas.Kami memilih untuk mencuba pancingan dasar di celah-celah batu.Malam itu semua cukup berselera dengan hidangan sebarau dan tengas goreng.Baung dan rong sebagai hidangan asam rebus.



Menjelang senja kami mula mencari lubuk-lubuk dalam untuk mencuba baung.Wow... boleh tahan sentapan baung.Tapi saiznya sederhana saja.




Semua kecewa kerana tiada spesis kelah.Mungkin tiada rezeki kami.Bagi yang belum dapat lesen tu sabar-sabarlah.Mungkin dilain hari,masa dan tempat.Insyaallah.Menjelang larut malam kami bersembang-sembang sebelum melabuhkan diri.Terasa puas dengan trip yang mencabar.Masing-masing memasang impian untuk mencuba sebarau di awal pagi.



Trip kami hanya untuk dua hari satu malam kerana kekangan tugas.Setelah berkemas dan membersihkan kawasan,kami mengucapkan selamat tinggal kepada alam rimba yang mengujakan.Terasa kurang puas menyatukan diri dengan keindahan ciptaan Allah.Isyaallah kami akan datang semula dilain masa.Kepada ahli Geng Jejak Hutan yang baru,tahniah kerana anda begitu tegar dan tidak banyak kerenah dengan kehidupan yang tidak selesa.