Wednesday 14 September 2011

HUTAN BRASSAU-KENANGAN YANG MEMBERI PENGAJARAN


Kalau disebut Hutan Dara Brassau,fikiran semua ahli Jejak Hutan akan terus menjurus pada satu peristiwa yang akhirnya nampak seperti lucu.Pada yang melihat,sebenarnya adalah satu perjuangan yang mengerikan.Apatah lagi yang mengalaminya sendiri.Tiada siapa yang dapat menolong melainkan diri sendiri dengan izin Allah SWT. Terasa diri sangat kerdil dan tidak berdaya kerana hanya dapat menyaksikan tanpa dapat memberikan apa-apa bantuan pada rakan-walau di depan mata.Masing-masing hanya dapat melahirkan reaksi dari raut wajah dan regangan otot-otot badan seperti diri sendiri yang mengalami.


Memang tak pernah dengar nama Brassau apatah lagi lokasinya.Seorang kawan(jiran) yang sama hobi tapi berlainan aliran telah menceritakan satu tempat yang sangat menarik perhatianku.Dia tidak minat sungai walaupun lokasi hobinya sama dengan pemburu kelah.Kerjasama erat yang diberikan (jiran le) akhirnya aku dapat mengagak lokasinya.Apa lagi...pakar GPS kami,Yat terus mendapatkan maklumat melalui internet.Dapatlah kami bayangkan lokasinya,satu kawasan yang belum pernah kami jejaki menyebabkan perasaan meronta-ronta untuk segera menerokanya.Terutamaya Bang Mail.




Kami bergerak dari rumah (Pagoh) dengan dua jentera 4x4.Kali ini Zaini turut serta dengan memandu trooper yang kali pertama untuk tempat baru.Kami berlima dengan dua kenderaan.Aku,Bang Mail dan Yat sementara sebuah lagi Zaini dan Boy.Perjalanan kami tidak tergopoh gapah kerana tujuan utama adalah untuk merintis jalan sebelum datang lagi dengan lain-lain anggota.Seperti biasa Res.Wak Lan Kluang menjadi destinasi pertama kami untuk mengalas perut dan sedikit bekal.Lebih kurang jam 11.45 pagi kami teruskan perjalanan ke arah timur dengan pergerakan yang biasa saja.


Bang Mail memperlahankan kenderaan setelah kami hampir dengan kawasan yang diberitahu.Kepala kami bertiga mula terjenguk-jenguk untuk memastikan manakah lorong yang betul seperti diberitahu.Akhirnya kami pasti setelah semua tanda yang diberitahu bertepatan dengan lorong.Lorong lori balak yang sempit tetapi agak rata permukaannya,tanda selalu digunakan.Perjalanan seterusnya seperti biasa dengan jalan-jalan yang kami selalu lalui.Kiri kanan jalan yang bertebing tinggi dengan hutan balak yang menjulang ke langit menyebabkan kami bertiga tidak banyak bercakap.Hanya sekali sekala berkaitan keadaan hutan yang masih belum diteroka menyebabkan kami rasa macam kecut perut juga.Tambahan pula najis 'orang kuat' kerap kami temui disepanjang jalan.


Lebih kurang 45 minit,perjalanan semakin mengelirukan kerana banyak trek balak.Kami kurang pasti yang mana satu.Hubungan telefon jauh sekali.Kami sampai ke satu kongsi balak.Sepi sahaja kerana cuti hujung minggu.Kami berhenti dan cuba meninjau jika ada sesiapa yang boleh membantu.Akhirnya seorang pemuda (orang seberang) muncul dari celah-celah semak bersama seekor anjing.Kami cuba menunjukkan wajah yang tidak mencurigakan.Sapaan kami dibalas mesra tapi masih ada kecurigaan di wajahnya.Akhirnya beliau menunjukkan satu arah menghala ke satu lembah dan disitu ada anak sungai yang katanya banyak penghuninya.Ribuan terima kasih kepada beliau kerana detik itu menjadi asas kepada penerokaan kami seterusnya yang aku rasa sangat mengujakan.


Kami keluar semula menuju laluan utama dan mengambil arah semakin kehulu.Tidak jauh kami temui satu sungai melintang jalan.Arus yang agak deras dengan air agak kelabu sedikit.Panoramanya mengasyikkan sesuai dengan kedudukannya yang jauh kedalam hutan.Dari pengalaman kami,tentu sekali tempat yang menarik kerana sifatnya itu.Jeram cetek,lubuk tenang di selekoh serta rimbunan kayu yang menjadi tempat permainan sebarau.Kami tidak mencuba di situ kerana teruja dengan tempat yang diperkatakan oleh pemuda seberang tadi.


Kami teruskan perjalanan perlahan-lahan sambil meninjau-ninjau lorong yang dimaksudkan.Tepat sekali simpang yang diperkatakan tadi dan kami terus membeluk ke kiri.Satu kawasan datar yang lantainya semak samun resam,pakis dan rotan serta pohon besar yang jarang-jarang menunjukkan ianya tanah rendah berpaya.Lima minit kemudian di kaki bukit kami temui anak sungai yang amat perlahan aliran airnya.Inilah yang diperkatakan oleh pemuda tadi.Lebarnya tidak menentu dan perjalanan airnya banyak dihalang batang-batang balak yang tumbang.Sepi.Tiada kocakan dari sang pemangsa.Hanya anak-anak ikan yang bermain-main di permukaan.Kami berpandangan.Agak kecewa.Kami berlima diam terkedu sambil memerhatikan panorama sepi.Agak lama juga,sepuluh minit mungkin,tiba-tiba kocakan air disana sini menggetarkan kami.Mungkin deruman jentera 4x4 serta suara kami menakutkan penghuni sungai.Kembali ceria.


Apa lagi,semuanya terus mempersiapkan peralatan tak sabar-sabar ingin menduga.Baru saja di campakkan umpan cengkerik terus direnggut.Ohh.....hebat sekali daya lawannya.Berderau kami kerana rupa-rupanya 'sang temperas' yang besar.Tak pernah kami temui temperas sebesar itu,hampir setengah kilogram seekor.Masing-masing berlumba-lumba menaikkan hasil pancingan.Penghuni sungai seolah-olah tidak lagi menghiraukan riuh rendah kami berlima.Hampir sejam berbagai spesis kami naikkan.Temperas,terbul,baung akar,kepeliau dan spesis yang kami jarang temui-baung tikus.Tapi sayangnya tiada spesis kelah di situ,Agak mengcewakan juga.


Inilah yang dikatakan manusia tak pernah cukup dengan apa yang diberi.Kami seolah-olah ingin menghabiskan semuanya tetapi hari hampir gelap walaupun baru jam 5 petang.Zaini mencadangkan agar kami memasang jaring dan menghalau dari hulu.Entah mengapa walaupun jarang-jarang kami menjaring tapi petang itu kami bersetuju.Mungkin tamak.


Setelah jaring direntang memanjang sungai,kami ke hulu sedikit dan mula manggegarkan sungai dengan pelbagai aksi.Kedalaman yang tidak menentu separas dada dan ada kalanya separas lutut saja memudahkan kami menyelongkar akar-akar,batang-batang kayu serta rimbunan pokok renik mengejutkan penghuni sungai.Hasilnya.....memang banyak.Tak puas hati kami lakukan sekali lagi.Kali ini jauh sedikit untuk mendapatkan hasil yang lebih banyak.Kami sangat gembira petang itu sambil riuh rendah kerana deruan sebarau,temperas,terbul melarikan diri ke arah jaring.




Kami memungut hasilnya dengan gembira.Tiba-tiba Boy mengerang dengan kerutan muka yang menunjukkan menahan kesakitan atau kecemasan.Kedua belah tangannya berada didalam air seolah-olah memegang sesuatu yang aku rasa berbahaya atau bisa atau luka.....Aku menjerit bertanya tapi Boy tidak mampu menjawab.Kami panik tak tahu punca dan tak tahu bagaimana mahu bertindak.Aku lihat Boy semakin cemas,kerutan wajahnya semakin membimbangkan kami.Cepat aku menerpa kerahnya untuk mengetahui punca dan memberi bantuan.Aku lihat dia seperti mengumpulkan kekuatan dan dengan diiringi satu dengusan kuat,dia menarik keluar tangannya dan mengangkat tinggi sambil menunjukkan wajah yang terlepas dari bahaya.Seekor lintah telah menembusi lubang alat....nya.Apa lagi,terus kami berlumba-lumba naik kedarat meninggalkan hasil tangkapan.Kami terkejut,tak pernah berlaku selama kami bermain sungai di hutan.


Inilah mungkin satu peringatan kepada kami agar sentiasa berwaspada.Syukur ke Hadrat Illahi.Malam itu kami teruskan dengan memancing dari tebing.Banyak sungguh hasilnya.Tetapi 'kelah' tiada di situ
Kami mengambil keputusan untuk keluar pada tengah malam juga kerana ada sesuatu yang mengganggu kami.Mungkin cukuplah jangan tamak sangat.Lain kali boleh datang lagi untuk melunaskan hobi kami serta mendapat hasil yang baik.

1 comment: